Saturday, January 22, 2011

Pembentukan Petroleum Menurut Quran


Dan (Allah) telah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.

Dan Dia menjadikannya kering hitam.

(surah Al-A’laa:4-5)

Petroleum adalah hasil proses pereputan rumput-rampai, tumbuh-tumbuhan, alga dan paku-pakis, yang mana proses ini memakan masa jutaan tahun lamanya. Proses ini terjadi apabila bahan-bahan organik yang disebutkan tadi terdedah kepada kesan-kesan kimia yang berasal dari pelbagai jenis bakteria.

Hari ini petroleum dipercayai berasal dari unsur organik. Tumbuh-tumbuhan yang dijadikan Allah lebih awal dari kejadian manusia, telah ditetapkan untuk bertukar (melalui perubahan masa) dalam kerangka ekologi (yang seimbang) bumi. Sisa-sisa organik yang mempunyai sifat berminyak juga terurai/mereput dibawah dasar lautan dalam jangka waktu jutaan tahun. Zat-zat yang mempunyai ciri-ciri berminyak inilah yang telah bertukar (dengan kekuasaan Allah) menjadi bahan yang hari ini kita kenali sebagai petroleum.

Dalam ayat Al-Quran yang dinyatakan di atas, petroleum diwakili oleh terjemahan “hitam” dan sesetengah tafsir Quran berbahasa Inggeris menterjemahkan “hitam” itu sebagai “blackish floodwater” yang membawa maksud “cecair hitam yang mengalir”. Simpanan petroleum dalam bumi pada kebiasaannya akan “bergerak” dari tempat pembentukannya kerana ianya tidak mempunyai sifat “berdiam” dalam bumi. Petroleum mempunyai sifat seperti cecair. Dengan kata lain petroleum juga “mengalir”. Petroleum “mengalir” dari suatu lokasi ke lokasi lain dalam jarak yang sangat jauh lalu berkumpul di lokasi yang mana terdapat struktur batuan yang tidak mempunyai liang. Maknanya petroleum yang dicarigali hari ini adalah petroleum yang telah berkumpul akibat tersekat dari jalan alirannya dalam bumi.

Secara ringkas, dapat kita ertikan tujuan perkataan “hitam” yang disebut Allah dalam ayat di atas ialah petroleum yang:

§ Terjadi dari unsur organik

§ Hitam

§ Mengalir seperti air (cecair)


Kegunaan Petroleum Di Zaman Kita

Sehingga pertengahan abad ke-19, petroleum mentah diambil dari tempat dimana terdapat “kebocoran” naik ke permukaan bumi. Oleh kerana ianya bercampur dengan sumber air dimana binatang-binatang menghirup melepas dahaga serta bercampur dengan air dalm telaga-telaga air yang digali manusia, bahan yang hari ini disebut petroleum ini dahulunya adalah seperti “menyusahkan”.

Pada 1850an manusia mula mengkaji kegunaan petroleum ini untuk menjadikannya bahan penghidup api pelita. Edwin L. Drake telah menemukan “simpanan” petroleum pada kedalaman 21 meter pada 27 Ogos 1859. Oleh kerana petroleum memberi hasil lebih baik dari usaha penangkapan ikan (untuk membuat minyak dari lemak) dan kosnya lebih murah untuk menyalakan lampu minyak, maka sudah tersedia permintaannya dalam pasaran dagangan, lalu bermulalah era petroleum.

Allah telah mengaturkan komposisi kewujudan zat petroleum ini untuk dimanfaatkan bagi pelbagai kegunaan dalam aspek kehidupan manusia. Setengah dari manfaatnya yang cukup dikenali ialah bahan api dan minyak parafin. Yang lainnya seperti dalam perusahaan lilin, penggilap, pewangi dan kosmetik, sehinggalah pada pengeluaran keju iaitu sebagai bahan awet. Tidak ketinggalan manfaat petroleum dalam pembuatan racun serangga, getah tiruan, bahan plastik, kimia bahan pencuci, malah sesetengah ubat-ubatan juga mempunyai unsur-unsur yang berasal dari petroleum. Komposisi produk tekstil juga mempunyai unsur yang berasal dari petroleum.

Kisah hebat tentang petroleum yang berlarutan sehingga hari ini bermula dari proses pereputan bahan-bahan organik sejak dari jutaan tahun dahulu, diteruskan pula dengan episod pembentukan deposit petroleum pada kedalaman bumi, digantikan pula episod pengeluaran pelbagai alat dan bahan dari kilang-kilang. Dalam ayat 4-5 surah Al-A’la, tedapatnya “bayangan” kepada emas hitam yang dikenali petroleum. Dalam 3 ayat yang sebelumnya Allah menyebutkan bahawa tiap-tiap sesuatu itu adalah menurut “aturan” dan “kadar” (ketentuan/ aturan/ hukum/ prinsip/ formula) yang telah ditentukan olehNya iaitu:

Bertasbihlah mensucikan Tuhan mu Yang Maha Tinggi

Yang telah menciptakan lalu menyesuaikan dengan aturan yang tertentu

Yang telah mengatur (menetapkan kadar) lalu memberi hidayah petunjuk.

(Surah Al-A’laa:1-3)

Maka Benarlah Allah Yang Maha Tinggi.



5 comments: