Saturday, January 15, 2011

Said an-Nursi:Ulama yang Menggunakan Ilmu Sains untuk Membela Islam

Said Nursi merupakan pemikir dan ulama yang hidup di zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah. Gelaran Badiúzzaman (Keagungan Zaman) yang diterima beliau amat bertepatan dengan pengabdian seluruh hidupnya untuk mendaulat dan mempertahankan Islam pada masa-masa Turki mula diserang anasir sekularisme.

Said Nursi dilahirkan pada 1876M bersamaan 1293H di sebuah perkampungan kecil bernama ‘Nurs’ di wilayah Bitlis, tenggara Negara Turki. Beliau lahir dalam keluarga yang menitik-beratkan amalan beragama. Nama Said diberikan oleh ibu bapa beliau yang membawa maksudbahagia, dengan harapan Said Nursi benar-benar menjadi seorang manusia yang membahagiakan agamanya.

Bermula umur 9 tahun, Said Nursi sudah mula merantau dan menuntut ilmu keseluruh pusat pengajian di Turki sehinggalah umurnya 14 tahun. Kelebihan yang dianugerahkan Allah kepadanya iaitu daya ingatan dan hafalan yang kuat menjadikan beliau terkenal dan diberi gelaran Badiúzzaman oleh gurunya, Seikh Fathullah. Pada tahun 1897, Said Nursi berhijrah ke bandar Van. Di sini, Said Nursi mengambil peluang mentelaah kitab-kitab yang terdapat di perpustakaan dan membuat kajian terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya Kaum Kurdi terhadap Islam.

Pada masa tersebut, kemajuan yang pesat sedang berlaku dalam bidang sains. Malangnya, ilmu-ilmu sains telah dijadikan mekanisme penolakan terhadap agama lalu menimbulkan keraguan akan kebenaran agama. Melihat dampak buruk dari situasi ini, Said Nursi membuat keputusan bahawa beliau wajib mempelajari ilmu-ilmu sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Beliau turut mengusahakan agar ilmu sains ini diajar seiring dengan ilmu agama. Akhirnya, dengan iltizam dan keazamannya, Said Nursi dapat menguasai bukan sahaja ilmu sains tetapi ilmu-ilmu moden yang lain seperti sejarah, geografi, matematik, falsafah serta geologi.

Di zamannya pernah tersiar di akhbar ucapan kontroversi William Ewart Gladstone (Menteri Tanah Jajahan British) ketika satu perhimpunan rasmi British. Gladstone berkata sambil memegang al-Quran, “Selagi al-Quran ini berada di tangan-tangan orang Islam, selagi itulah kita tidak akan mampu menguasai mereka. Oleh itu, kita perlu jauhkan al-Quran daripada mereka.”

Said Nursi amat terkesan dengan peristiwa ini. Dalam usaha menghadapi ancaman Barat ini, Said Nursi telah menubuhkan sebuah universiti di Timur Turki yang dinamakan Madrasah al-Zahra. Pusat ilmuan ini dibina dengan tujuan menggagungkan ilmu-ilmu agama dan sains moden. Ideanya dalam bidang pendidikan untuk menyatukan kedua-dua ilmu ini adalah untuk memperkuatkan keyakian beragama. Walau bagaimanapun, pembinaan universiti tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Berpandukan pengetahuan saintifiknya, Said Nursi menegaskan bahawa tiada pertentangan antara ilmu sains dan kebenaran agama, malah al-Quran membuka jalan ke arah ilmu-ilmu alam semesta. Pandangan beliau diluahkan dalam karya agungnya, Rasail an-Nur yang terdiri daripada 130 Risalah. Karya agung beliau turut mempengaruhi penulis Turki, Harun Yahya yang kini telah menghasilkan beratus buku yang menghuraikan sains moden dari perspektif al-Quran.

Said Nursi menghembuskan nafas terahir pada 25 Ramadhan 1379 bersamaan 23 Mac 1960 di Urfa. Sepanjang hayatnya, Said Nursi telah berusaha memecahkan tradisi pengajian ilmu agama. Selain itu, beliau turut mendorong ke arah penguasaan bersama ilmu agama dan sains dalam memahami hakikat iman.

No comments:

Post a Comment