Monday, June 21, 2010

MASALAH ULAMA' KINI DAN DUALISME DALAM ILMU

Imam al-Ghazali membahagikan ilmu kepada ilmu naqliyyah dan ilmu ‘aqliyyah.Ilmu ‘aqliyyah dilihat sebagai berkhidmat kepada ilmu naqliyyah.Maka dari hakikat itu, kita boleh faham bahawa, dalam konteks semasa ini, sains dalam Islam ialah sains yang berkhidmat kepada Islam. Ini turut bermakna bahawa sains dan teknologi semasa tertakluk di bawah sistem nilai, sistem ilmu dan sistem hukum Islam, lalu semestinya dihakimi oleh Syari‘ah Islamiyyah. Maka kita tak boleh membiarkan berlarutan suasana seperti sekarang di mana sains dan teknologi bebas bermaharalela tanpa terbatas dan terpandu oleh hukum-hakam agama, apatah lagi bila sudah jelas bagi kita semua bahawa terlalu banyak aspeks sains dan teknologi semasa banyak membawa bencana bukan manfaat kepada alam.

Sains dan teknologi moden termasuk segala kegiatan yang berkaitan dengannya, sememangnya tertakluk kepada sistem nilai Islam yang terangkum dalam al-Maqasid al-Syar‘iyyah dan tidak terlepas daripada salah satu daripada hukum fiqh yang lima itu: wajib, mandub, ja’iz, makruh dan haram . Tetapi siapakah yang akan menghakimi ilmu sains semasa menurut hukum-hakam agama kalau bukan ahli agama itu sendiri, yang tahu-menahu mengenai hukum-hakam agama dan juga tahu-menahu akan ilmu-ilmu sains.

Terlalu banyak tuntutan agama yang tak mungkin ditunaikan dengan sempurna dan baik kalau ilmu-ilmu sains dan matematik tertentu tak dikuasai atau dicipta terlebih dahulu. Tuntutan sembahyang dengan segala syarat-syaratnya seperti menghadap qiblat dan menentukan masa masuk waktu sembahyang telah mencetuskan perkembangaan ilmu-ilmu geometri dan trigonometri , ilmu taqwim dan astronomi . Tuntutan pembahagian harta pusaka menurut hukum fara’id mencetuskan penciptaan dan perkembangan ilmu algebra. Tuntutan mengerjakan haji, jihad, menuntut ilmu .memakmurkan bumi dan perdagangan mencetuskan perkembangan ilmu alam, ilmu pertanian, ilmu pemetaan dan ilmu pelayaran. Tuntutan mengambil i’tibar daripada sejarah telah mencetuskan perkembangan ilmu sirah, ilmu tarikh, malah penciptaan ilmu baru, iaitu ilmu peradaban oleh Ibn Khaldun. Tuntutan menjaga kesihatan dan pemakanan mencetuskan perkembangan ilmu pertanian dan ilmu perubatan, termasuk ilmu-ilmu cabang yang berkaitan.

Pendek kata, tuntutan umum dalam al-Qur’an telah menggalakkan para ‘ulama’ Islam dahulu kala, termasuk ‘ulama Melayu-Islam kita, menguasai kedua-dua ilmu naqli dan ilmu ‘aqli dengan agak mendalam dan menyeluruh. Pergabungan terpadu antara naqliyyat dan ‘aqliyyat turut diusahakan oleh para ulama Melayu-Islam kita seperti yang jelas didedahkan oleh hasil penyelidikan al-Marhum Ustaz Wan Muhamad Saghir Wan Abdullah dan juga Ustaz Zaidi Abdullah.


Maka apabila kita meneliti riwayat hidup dari hasil karya ulama Islam dari zaman Imam al-Ghazali sampai kepada zaman awal abad keduapuluh ini kita dapati ramai yang menggabungkan antara ilmu naqli dan ilmu ‘aqli dengan sedemikian cara sehingga ilmu naqli menjadi pemandu kepada ilmu ‘aqli. Ilmu ‘aqli pula berkhidmat kepada ilmu naqli, maka dengan yang demikian segala perkembangan ‘ulum ‘aqliyyat senantiasa sepanjang masa berada di dalam kerangka sistem nilai keilmuan dan keadaban Islam lalu diarahkan kepada memenuhi tuntutan al-Maqasid al-Syar‘iyyah. Hal demikian tidak menghairankan kerana mereka yang terlibat dalam pentadbiran negara atau kerajaan, atau memegang jawatan awam, atau yang bergiat dalam bidang kajian dan kerjaya sains dan teknologi juga adalah terdiri dari golongan ulama yang memiliki kelayakan yang tinggi dalam bidang naqliyyat dan ‘aqliyyat. Contohnya seperti Ibn Khaldun ulama besar yang juga pernah bertugas sebagai menteri besar dan penasihat sultan serta pernah juga berkhidmat sebagai duta bagi kerajaan Mamluk untuk berunding dengan Timur yang ganas itu. Begitu juga Ibn Rushd faqih dan qadi besar pengarang Bidayat al-Mujtahid dan juga ahli falsafah, ahli falak pengarang Mukhtasar al-Majisti dan juga terkenal sebagai ahli perubatan.. Contoh lagi ialah semasa kerajaan ‘Uthmaniyyah di mana hanya orang yang sudah melalui pendidikan agama yang melalui sistem madrasah dibenarkan memasuki sekolah-sekolah perubatan untuk berlatih sebagai ahli perubatan. Di kalangan ulama Melayu-Islam kita pula ialah umpama Shaykh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi, imam Shafi‘iyyah di Makkah yang turut mengarang dalam bidang ilmu matematik pada tahap yang agak canggih.

No comments:

Post a Comment