Saturday, January 22, 2011

Pembentukan Petroleum Menurut Quran


Dan (Allah) telah menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.

Dan Dia menjadikannya kering hitam.

(surah Al-A’laa:4-5)

Petroleum adalah hasil proses pereputan rumput-rampai, tumbuh-tumbuhan, alga dan paku-pakis, yang mana proses ini memakan masa jutaan tahun lamanya. Proses ini terjadi apabila bahan-bahan organik yang disebutkan tadi terdedah kepada kesan-kesan kimia yang berasal dari pelbagai jenis bakteria.

Hari ini petroleum dipercayai berasal dari unsur organik. Tumbuh-tumbuhan yang dijadikan Allah lebih awal dari kejadian manusia, telah ditetapkan untuk bertukar (melalui perubahan masa) dalam kerangka ekologi (yang seimbang) bumi. Sisa-sisa organik yang mempunyai sifat berminyak juga terurai/mereput dibawah dasar lautan dalam jangka waktu jutaan tahun. Zat-zat yang mempunyai ciri-ciri berminyak inilah yang telah bertukar (dengan kekuasaan Allah) menjadi bahan yang hari ini kita kenali sebagai petroleum.

Dalam ayat Al-Quran yang dinyatakan di atas, petroleum diwakili oleh terjemahan “hitam” dan sesetengah tafsir Quran berbahasa Inggeris menterjemahkan “hitam” itu sebagai “blackish floodwater” yang membawa maksud “cecair hitam yang mengalir”. Simpanan petroleum dalam bumi pada kebiasaannya akan “bergerak” dari tempat pembentukannya kerana ianya tidak mempunyai sifat “berdiam” dalam bumi. Petroleum mempunyai sifat seperti cecair. Dengan kata lain petroleum juga “mengalir”. Petroleum “mengalir” dari suatu lokasi ke lokasi lain dalam jarak yang sangat jauh lalu berkumpul di lokasi yang mana terdapat struktur batuan yang tidak mempunyai liang. Maknanya petroleum yang dicarigali hari ini adalah petroleum yang telah berkumpul akibat tersekat dari jalan alirannya dalam bumi.

Secara ringkas, dapat kita ertikan tujuan perkataan “hitam” yang disebut Allah dalam ayat di atas ialah petroleum yang:

§ Terjadi dari unsur organik

§ Hitam

§ Mengalir seperti air (cecair)


Kegunaan Petroleum Di Zaman Kita

Sehingga pertengahan abad ke-19, petroleum mentah diambil dari tempat dimana terdapat “kebocoran” naik ke permukaan bumi. Oleh kerana ianya bercampur dengan sumber air dimana binatang-binatang menghirup melepas dahaga serta bercampur dengan air dalm telaga-telaga air yang digali manusia, bahan yang hari ini disebut petroleum ini dahulunya adalah seperti “menyusahkan”.

Pada 1850an manusia mula mengkaji kegunaan petroleum ini untuk menjadikannya bahan penghidup api pelita. Edwin L. Drake telah menemukan “simpanan” petroleum pada kedalaman 21 meter pada 27 Ogos 1859. Oleh kerana petroleum memberi hasil lebih baik dari usaha penangkapan ikan (untuk membuat minyak dari lemak) dan kosnya lebih murah untuk menyalakan lampu minyak, maka sudah tersedia permintaannya dalam pasaran dagangan, lalu bermulalah era petroleum.

Allah telah mengaturkan komposisi kewujudan zat petroleum ini untuk dimanfaatkan bagi pelbagai kegunaan dalam aspek kehidupan manusia. Setengah dari manfaatnya yang cukup dikenali ialah bahan api dan minyak parafin. Yang lainnya seperti dalam perusahaan lilin, penggilap, pewangi dan kosmetik, sehinggalah pada pengeluaran keju iaitu sebagai bahan awet. Tidak ketinggalan manfaat petroleum dalam pembuatan racun serangga, getah tiruan, bahan plastik, kimia bahan pencuci, malah sesetengah ubat-ubatan juga mempunyai unsur-unsur yang berasal dari petroleum. Komposisi produk tekstil juga mempunyai unsur yang berasal dari petroleum.

Kisah hebat tentang petroleum yang berlarutan sehingga hari ini bermula dari proses pereputan bahan-bahan organik sejak dari jutaan tahun dahulu, diteruskan pula dengan episod pembentukan deposit petroleum pada kedalaman bumi, digantikan pula episod pengeluaran pelbagai alat dan bahan dari kilang-kilang. Dalam ayat 4-5 surah Al-A’la, tedapatnya “bayangan” kepada emas hitam yang dikenali petroleum. Dalam 3 ayat yang sebelumnya Allah menyebutkan bahawa tiap-tiap sesuatu itu adalah menurut “aturan” dan “kadar” (ketentuan/ aturan/ hukum/ prinsip/ formula) yang telah ditentukan olehNya iaitu:

Bertasbihlah mensucikan Tuhan mu Yang Maha Tinggi

Yang telah menciptakan lalu menyesuaikan dengan aturan yang tertentu

Yang telah mengatur (menetapkan kadar) lalu memberi hidayah petunjuk.

(Surah Al-A’laa:1-3)

Maka Benarlah Allah Yang Maha Tinggi.



Saturday, January 15, 2011

In the Remembrance of Said an-Nursi

Said an-Nursi:Ulama yang Menggunakan Ilmu Sains untuk Membela Islam

Said Nursi merupakan pemikir dan ulama yang hidup di zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah. Gelaran Badiúzzaman (Keagungan Zaman) yang diterima beliau amat bertepatan dengan pengabdian seluruh hidupnya untuk mendaulat dan mempertahankan Islam pada masa-masa Turki mula diserang anasir sekularisme.

Said Nursi dilahirkan pada 1876M bersamaan 1293H di sebuah perkampungan kecil bernama ‘Nurs’ di wilayah Bitlis, tenggara Negara Turki. Beliau lahir dalam keluarga yang menitik-beratkan amalan beragama. Nama Said diberikan oleh ibu bapa beliau yang membawa maksudbahagia, dengan harapan Said Nursi benar-benar menjadi seorang manusia yang membahagiakan agamanya.

Bermula umur 9 tahun, Said Nursi sudah mula merantau dan menuntut ilmu keseluruh pusat pengajian di Turki sehinggalah umurnya 14 tahun. Kelebihan yang dianugerahkan Allah kepadanya iaitu daya ingatan dan hafalan yang kuat menjadikan beliau terkenal dan diberi gelaran Badiúzzaman oleh gurunya, Seikh Fathullah. Pada tahun 1897, Said Nursi berhijrah ke bandar Van. Di sini, Said Nursi mengambil peluang mentelaah kitab-kitab yang terdapat di perpustakaan dan membuat kajian terhadap tahap kefahaman masyarakat tempatan, khususnya Kaum Kurdi terhadap Islam.

Pada masa tersebut, kemajuan yang pesat sedang berlaku dalam bidang sains. Malangnya, ilmu-ilmu sains telah dijadikan mekanisme penolakan terhadap agama lalu menimbulkan keraguan akan kebenaran agama. Melihat dampak buruk dari situasi ini, Said Nursi membuat keputusan bahawa beliau wajib mempelajari ilmu-ilmu sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Beliau turut mengusahakan agar ilmu sains ini diajar seiring dengan ilmu agama. Akhirnya, dengan iltizam dan keazamannya, Said Nursi dapat menguasai bukan sahaja ilmu sains tetapi ilmu-ilmu moden yang lain seperti sejarah, geografi, matematik, falsafah serta geologi.

Di zamannya pernah tersiar di akhbar ucapan kontroversi William Ewart Gladstone (Menteri Tanah Jajahan British) ketika satu perhimpunan rasmi British. Gladstone berkata sambil memegang al-Quran, “Selagi al-Quran ini berada di tangan-tangan orang Islam, selagi itulah kita tidak akan mampu menguasai mereka. Oleh itu, kita perlu jauhkan al-Quran daripada mereka.”

Said Nursi amat terkesan dengan peristiwa ini. Dalam usaha menghadapi ancaman Barat ini, Said Nursi telah menubuhkan sebuah universiti di Timur Turki yang dinamakan Madrasah al-Zahra. Pusat ilmuan ini dibina dengan tujuan menggagungkan ilmu-ilmu agama dan sains moden. Ideanya dalam bidang pendidikan untuk menyatukan kedua-dua ilmu ini adalah untuk memperkuatkan keyakian beragama. Walau bagaimanapun, pembinaan universiti tidak dapat disiapkan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Berpandukan pengetahuan saintifiknya, Said Nursi menegaskan bahawa tiada pertentangan antara ilmu sains dan kebenaran agama, malah al-Quran membuka jalan ke arah ilmu-ilmu alam semesta. Pandangan beliau diluahkan dalam karya agungnya, Rasail an-Nur yang terdiri daripada 130 Risalah. Karya agung beliau turut mempengaruhi penulis Turki, Harun Yahya yang kini telah menghasilkan beratus buku yang menghuraikan sains moden dari perspektif al-Quran.

Said Nursi menghembuskan nafas terahir pada 25 Ramadhan 1379 bersamaan 23 Mac 1960 di Urfa. Sepanjang hayatnya, Said Nursi telah berusaha memecahkan tradisi pengajian ilmu agama. Selain itu, beliau turut mendorong ke arah penguasaan bersama ilmu agama dan sains dalam memahami hakikat iman.

Quran Recitation

Monday, January 10, 2011

Bukan Sekadar Untuk Dibaca


Setiap kita hendaknya mengetahui bahwa bertambahnya keimanan yang timbul dari membaca Al Quran tak akan terwujud tanpa memperhatikan kandungannya dan mengamalkan isinya, bukan hanya sekadar untuk dibaca.

“Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini beberapa kaum dan menjatuhkan kaum yang lain.”

(HR.Muslim)

Al Quran akan membawa manfaat dan menambah keimanan kita bila kita mengamalkan isinya, sebaliknya Al Quran justru akan membinasakan bahkan mengurangi keimanan jika kita mengabaikan dan melalaikan petunjuk-petunjuknya.

Sangat disayangkan zaman sekarang ini, banyak para ahli Al Quran bukannya mentadabburi malah tenggelam dalam melagukan, melafazkan huruf dan memperindahnya tapi melupakan petunjuk-petunjuk yang terkandung di dalamnya. Orang yang mendengarkannya pun hanya fokus hanya pada irama lagunya tanpa merenungi kandungan isinya. Lebih parah lagi orang yang menghafal Al Quran,tetapi mempunyai bacaan yang salah. Ditambah mereka tidak merenungi isi kandungan Al Quran tersebut. Sungguh musibah di atas musibah. Demi Allah yang namanya tadabbur itu bukan menghafal huruf-hurufnya sementara petunjuknya dilalaikan.

Namun bukan berarti lantas kita menyalahkan orang yang mentartil, melagukan atau memperindah dalam membaca Al Quran. Namun yang perlu bicarakan adalah jika berlebihan di dalam membacanya dan dibuat-buat supaya orang yang mendengarkan terlena dan takjub dengan segi suaranya saja bukan isi kandungannya.

Sebenarnya kita dapat melihat orang-orang yang hafidz (hafal Al Quran) tetapi tidak tercermin dalam akhlaknya bahkan cenderung mengenepikan perintah Al Quran maka Al Quran tersebut akan menjadi beban bagi dirinya sendiri yang justeru akan membinasakannya.

Jika kita ingin mengambil manfaat dari Al Quran maka satukanlah hati dalam membaca dan mendengarkannya. Pasanglah pendengaran kita dan hadirlah seperti orang yang diajak berbicara langsung oleh Allah. Dengan berfikiran seperti ini maka semakin kerap kita membaca Al Quran akan semakin bertambah keimannnya. Akan terlihat perubahan dalam akhlak dan tingkah lakunya menjadi lebih baik

Namun bukan bererti pula untuk orang-orang yang belum diberi kemampuan untuk mempelajari maknanya maka lantas meninggalkan untuk membaca mahupun menghafalnya. Demikian ini malah akan menjadi kehinaan yang berlipat kali ganda di sisi Allah. Membaca setiap huruf Al Quran mendapat pahala dari Allah. Maka seharusnya kita usahakan adalah membaca, menghafalkan, merenungkan dan mengamalkannya dalam akhlak dan tingkah laku kita sehari-hari.

Semoga Allah menjadikan Al Quran sebagai syafaat bagi kita di akhirat kelak. Amin.